BERITA SEMASA

Nik Nazmi akui individu ditahan JAIS, bertemu dengan wanita untuk berbincang projek

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan dirinya antara individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam kes khalwat di Petaling Jaya pada 15 Oktober lalu.

Menerusi kenyataan di media sosial, beliau menjelaskan pertemuan bersama wanita berkenaan pada awalnya berlangsung di studio mereka di Brickfields, Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke Petaling Jaya bagi meneliti beberapa bahan berkaitan projek yang sedang dibincangkan.

Menurutnya, ketika pegawai JAIS tiba di lokasi, hanya beliau dan wanita terbabit berada di situ.

“Pada masa pegawai JAIS tiba, sememangnya hanya saya dan wanita tersebut yang ada. Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan.

“Seperti yang saya maklumkan juga kepada Pegawai JAIS, kami sememangnya tidak melakukan apa-apa tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut memohon maaf kepada isteri, keluarga serta semua pihak yang terkesan akibat kejadian itu, sambil mengakui berlaku kesilapan pertimbangan yang tidak sepatutnya.

Nik Nazmi berkata, beliau bersedia memberikan kerjasama bagi sebarang proses perundangan berkaitan insiden berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan permohonan maaf kepada parti BERSAMA kerana insiden tersebut menjejaskan parti serta mengecewakan ahli dan penyokongnya.

“Saya juga memohon maaf kepada parti BERSAMA kerana mengecewakan ahli-ahli dan penyokong BERSAMA, memandangkan isu ini menjejaskan parti dan akan menerima apa jua keputusan parti,” katanya.

Beliau turut berharap semua pihak memberikan ruang kepada proses perundangan untuk berjalan tanpa memperbesarkan perkara itu menerusi media.

Terdahulu, media melaporkan seorang bekas menteri yang juga pemimpin politik ditahan JAIS bersama seorang wanita yang dipercayai pengasas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kes khalwat di Petaling Jaya, Khamis lalu.

Laporan media menyebut kedua-dua individu itu dibawa ke Pejabat JAIS di Shah Alam bagi urusan dokumentasi selepas penahanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button