Malaysia-Jepun perkukuh kerjasama pendidikan tinggi, AI dan TVET berimpak tinggi
TOKYO – Lawatan kerja Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ke Tokyo dan Osaka telah membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh hubungan strategik Malaysia-Jepun khususnya dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi dan teknologi.
Menerusi lawatan tiga hari yang berlangsung dari 28 hingga 30 Julai lalu atas jemputan Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA), pelbagai inisiatif dan kerjasama berpotensi tinggi telah diteroka bersama institusi pendidikan, penyelidikan dan industri utama di Jepun.

Menurut Zambry, lawatan ini bukan sahaja memperkukuh jaringan akademik dan penyelidikan, malah memberi inspirasi kepada usaha memperkasa mahasiswa Malaysia sebagai pemacu inovasi masa depan.
“Kita tidak boleh kekal dalam sistem lama. Dunia berubah pantas dan mahasiswa perlu dilengkapkan dengan kemahiran keusahawanan, teknologi canggih seperti AI serta pendekatan baharu dalam TVET.
“Jepun telah membuktikan kejayaan dalam perkara ini dan Malaysia perlu segera bergerak seiring,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Antara pengisian utama lawatan termasuk pertemuan dua hala bersama tokoh pendidikan Jepun seperti Koichi Hagiuda dari Parti Demokratik Liberal (LDP), lawatan ke Universiti Tokyo yang memfokus kepada program AI Startup serta sesi tinjauan teknologi kuantum dan semikonduktor di National Institute of Advanced Industrial Science and Technology (AIST) di Tsukuba.

Beliau turut bertemu Presiden Universiti Tsukuba bagi membincangkan pengukuhan kampus cawangan universiti itu di Malaysia termasuk perluasan program ke tahap lebih tinggi serta kerjasama dalam High-TVET.
Di Osaka, Dr Zambry melawat Kaneka Corporation iaitu syarikat teknologi tinggi yang aktif dalam pembangunan bahan kimia dan bioteknologi serta mengadakan perbincangan strategik mengenai kerjasama penyelidikan serta pertukaran bakat antara institusi Malaysia dan Jepun.
Lawatan itu turut memperlihatkan komitmen KPT terhadap kebajikan pelajar Malaysia di luar negara menerusi sesi ramah mesra bersama pelajar pascasiswazah di Tokyo serta rundingan awal dengan Universiti Soka berkaitan kerjasama penyelidikan dalam kajian perbandingan agama.
Beliau juga meluangkan masa meninjau Pavilion Malaysia di Ekspo Osaka, di mana Minggu Pendidikan Tinggi Malaysia berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung dalam masa enam hari.
“Lawatan ini sejajar dengan aspirasi Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2035 yang menekankan keperluan memperkasa pelajar dengan kemahiran masa hadapan menerusi pendidikan berimpak tinggi, keusahawanan teknologi dan jaringan global,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








