BERITA SEMASA

KPK sedia insentif RM3.5 juta sokong peniaga buah sawit

PUTRAJAYA – Kementerian Perladangan dan Komoditi memperuntukkan sebanyak RM6.5 juta sebagai insentif bagi menyokong peniaga buah kelapa sawit memperoleh pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

Menterinya, Datuk Noraini Ahmad berkata, inisiatif berkenaan merupakan langkah proaktif kerajaan dalam membantu peniaga buah kelapa sawit memenuhi keperluan pematuhan semasa, di samping memperkukuh daya tahan rantaian bekalan sawit negara.

“Lebih 3,000 peniaga buah kelapa sawit yang layak di seluruh negara dijangka menerima manfaat, tertakluk kepada syarat dan kelayakan yang ditetapkan.

Permohonan bagi insentif ini boleh dikemukakan kepada Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) mulai 15 April 2026 melalui sistem e-MSPO,” kata Noraini dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Pelaksanaan inisiatif berkenaan turut selaras dengan usaha memperkukuh pelaksanaan menyeluruh MSPO 2.0, di samping menyokong agenda negara dalam memastikan industri sawit Malaysia terus berkembang secara mampan, bertanggungjawab dan berdaya tahan.

“Kerajaan menjangkakan langkah ini akan membantu memperluas liputan pensijilan dalam kalangan peniaga buah kelapa sawit, seterusnya mengukuhkan keseluruhan ekosistem rantaian bekalan sawit negara.

“Kerajaan akan terus mengambil pendekatan yang bertanggungjawab dan berfokus bagi memastikan industri sawit negara kekal stabil, berdaya saing dan diyakini pasaran,” katanya lagi.

Noraini berkata, setiap langkah diambil kerajaan adalah penting dalam memberikan sokongan berkesan terhadap pemain industri, terutamanya bagi pihak yang terlibat secara langsung dalam rantaian bekalan sawit negara.

Inisiatif berkenaan, tambahnya, mencerminkan usaha berterusan Kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat serta memperkukuh keyakinan terhadap sektor sawit negara di pasaran domestik dan antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button