BERITA SEMASA

Akta Keterjaminan Makanan Negara dijangka dibentang di Parlimen tahun depan

KLANG – Kerajaan dijangka membentangkan Akta Keterjaminan Makanan Negara di Parlimen, tahun depan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Mohamad Sabu berkata, akta yang bertujuan memperkukuh jaminan bekalan serta keterjaminan makanan negara itu kini sedang diperincikan sebelum dibawa untuk kelulusan, lapor Kosmo Online.

“Kita sedang menggubal akta tersebut dan perkara berkaitan keterjaminan makanan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.

“Insya Allah, akta ini akan dibentangkan di Parlimen pada tahun depan,” katanya selepas hadir merasmikan program Road To Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Kompleks Pandamaran, di sini hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut, penggubalan akta tersebut perlu disegerakan susulan ancaman fenomena El Nino dan perubahan iklim yang berisiko mengancam sektor pengeluaran makanan tempatan.

Akta itu berupaya memastikan negara mempunyai sistem amaran awal, pelan kesiapsiagaan automatik serta mekanisme penyaluran bantuan yang lebih berkesan kepada sektor pengeluaran makanan.

Mengulas mengenai MAHA 2026, Mohamad memaklumkan ia bakal dimeriahkan dengan penyertaan peserta luar negara
termasuk Brazil, China, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Hungary dan Wilayah Guangxi.

“Insya Allah MAHA akan berjalan dengan baik dengan penyertaan luar negara pada tahun ini agak meningkat. Uzbekistan, mereka kata akan hadir dan beberapa negara yang lain (yang masih menunggu pengesahan penyertaan).

“Ini pertama kali disertai luar negara kerana macam saya sebut tadi, soal makanan ini, ia agak berkaitan satu sama lain. Sebab kadangkala berlaku malapetaka kepada satu negara, negara lain akan membantu,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button