BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Isu BYD: MITI tegaskan tiada syarat diskriminasi ke atas pengeluar kereta

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menafikan dakwaan pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD, menghadapi sekatan sehingga menjejaskan rancangan menubuhkan kilang pemasangan tempatan (CKD) di Tanjung Malim, Perak.

Menurut MITI, syarat yang menetapkan hanya 20 peratus daripada pengeluaran BYD boleh dijual di dalam negara bukanlah sekatan, sebaliknya strategi untuk menggalakkan orientasi eksport serta menyumbang kepada imbangan perdagangan Malaysia dan integrasi dalam rantaian bekalan global.

“Ia bukan sekatan terhadap jumlah pengeluaran tetapi langkah strategik bagi mendorong orientasi eksport,” kata MITI dalam satu kenyataan hari ini, sambil menambah syarat eksport yang dikenakan bertujuan memastikan pelaburan memberi manfaat kepada negara.

Dalam kenyataan sama, MITI turut menafikan dakwaan bahawa kenderaan CKD BYD yang dijual di pasaran tempatan perlu berharga lebih RM200,000.

“Syarat sebenar menetapkan harga minimum atas jalan (OTR) RM100,000 bagi memastikan pengeluaran tempatan memberi tumpuan kepada segmen bernilai tinggi, sekali gus mengekalkan ruang pasaran untuk pemain nasional seperti Proton dan Perodua sambil menawarkan penyelesaian EV mampu milik,” jelasnya.

Selain itu, MITI menegaskan tiada larangan ke atas pengimportan model baharu trak pikap seperti BYD Shark atau GWM Cannon.

“Kenderaan komersial termasuk trak pikap dibenarkan diimport CBU dengan kuota terhad di bawah Permit Pra-Pemasangan Penyelidikan Pasaran (MRA), manakala pengeluaran CKD tempatan terus digalakkan,” jelas MITI.

MITI menambah, pendekatan kementerian bukan bersifat proteksionis tetapi bersifat pembangunan di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) dan misi NIMP 2030.

“Menerusi dan NAO dan NIMP Malaysia berusaha menggalakkan aktiviti berimpak tinggi termasuk pembuatan maju, kejuruteraan dan pemindahan teknologi bagi memastikan industri automotif tempatan berkembang secara mampan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, MITI menjelaskan langkah kerajaan menurunkan harga minimum OTR bagi EV CBU daripada RM250,000 kepada RM100,000 (2022–2025) adalah langkah sementara untuk merangsang permintaan dan meningkatkan kesedaran pengguna.

“Sementara itu, pengeluaran dan pemasangan tempatan dijadikan strategi jangka panjang bagi menjadikan EV lebih mampu milik dan mudah diakses rakyat Malaysia,” jelas MITI lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button