BERITA SEMASA

Pengusiran warga Israel selaras dasar negara

JOHOR BAHRU – Pengusiran warga Israel dari Malaysia adalah selaras dengan dasar negara yang sekian lama tidak mengiktiraf kewujudan negara berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya dan tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan dasar tersebut.

“Apa yang berlaku dengan pengusiran itu adalah bagi memastikan tiada warga Israel terbabit dengan isu Network School.

“Dasar kita sejak dahulu jelas. Kita tidak membenarkan warga Israel memasuki negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan pengusiran itu serta gesaan beberapa anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) supaya pembiayaan Program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) untuk Malaysia dihentikan.

Mohamed Khaled berkata, pelaksanaan tegas dasar berkenaan tidak menjejaskan pembiayaan di bawah program IMET.

“Dasar kita mudah, iaitu kita tidak mengiktiraf negara Israel. Jika anggota Kongres mahu membuat tuntutan sedemikian, itu adalah urusan antara mereka dengan kerajaan mereka,” katanya.

Baru-baru ini, lapan anggota Kongres Amerika Syarikat menggesa pentadbiran negara itu mengkaji semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia susulan tindakan terhadap seorang warga Israel yang didakwa memasuki negara ini menggunakan pasport negara kedua.

Menerusi sepucuk surat kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio bertarikh 21 Julai, kumpulan penggubal undang-undang itu turut menggesa Washington mempertimbangkan untuk menggantung pembiayaan IMET sekiranya Malaysia tidak mengubah pendiriannya dalam tempoh 15 hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengusir mana-mana warga Israel yang dikesan berada di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button