Kerajaan MADANI terus perkasa sekolah agama, sekolah pondok
IPOH – Kerajaan MADANI akan terus memperkasa dan meningkatkan pembangunan sekolah agama serta sekolah pondok di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai institusi yang suatu ketika dahulu memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan kepada masyarakat, sekolah pondok kini ketinggalan kerana tidak dapat menguasai ilmu dalam bidang lain.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, beliau tetap berbangga dengan para ustaz, pimpinan sekolah pondok serta tok guru kerana mengekalkan tradisi Islam dan kitab lama, di samping bersedia untuk meneroka disiplin baharu seperti teknologi komputer dan kecerdasan buatan (AI).
“Saya memberi jaminan, insya Allah, selagi kita terus diberikan kesihatan dan ekonomi negara kekal kukuh seperti sekarang, seperti yang saya maklumkan kepada Sheikh Wazir Che Awang Al-Makki, insya Allah kita akan terus memperkasa dan meningkatkan sekolah agama serta sekolah pondok di seluruh negara,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan dan menyampaikan amanat khas pada Majlis Perasmian Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Perak (HIPSA) 2026 di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah, Chemor, dekat sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata, beberapa sekolah pondok dan maahad telah dilengkapi teknologi baharu bagi memastikan pelajar bersedia menguasai ilmu serta kemahiran masa depan.
“Saya menghargai kerjasama yang diberikan oleh sekolah-sekolah ini dan hari ini kita akan terus menambah peruntukan serta bantuan seperti yang telah diumumkan,” katanya.
Anwar turut menasihati para pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh dan membuktikan mereka bukan sahaja mampu cemerlang dari segi intelek, kecekapan serta penguasaan bidang seperti syariah dan bahasa Arab, malah turut berdaya saing dalam bidang ilmu baharu.
Pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada sekolah pondok dan sekolah agama di seluruh Perak bagi tahun 2026, selain RM300,000 khusus kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah di Chemor.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















