PM umum HPA bagi penjawat awam lanjut pengajian atas biaya sendiri
PUTRAJAYA – Penjawat awam yang mengambil inisiatif untuk melanjutkan pelajaran atas perbelanjaan sendiri akan menerima Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) berbentuk insentif kewangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, insentif yang diberikan sekali dalam sepanjang tempoh perkhidmatan itu juga akan diberikan kepada mereka yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi yang diiktiraf semasa dalam perkhidmatan, dengan menggunakan perbelanjaan sendiri.
“RM1,250.00 bagi mereka yang mendapat ijazah kedoktoran; RM1,000.00 bagi mereka mendapat ijazah sarjana; RM750.00 bagi mereka yang mendapat ijazah sarjana muda dan RM500.00 bagi mereka yang mendapat diploma atau kelayakan setaraf,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Bagi tujuan tersebut, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM75.7 juta ringgit yang akan memberi manfaat kepada 91,672 orang pegawai awam yang merentasi semua skim perkhidmatan.
Pada masa yang sama, kerajaan turut bersetuju memperluaskan insentif Bantuan Insentif Tugas Sarjana (BITS) kepada anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi kategori Sarjan setaraf Gred Z4 dan Staf Sarjan setaraf Gred Z5, dengan tempoh perkhidmatan minimum dipendekkan daripada enam tahun kepada empat tahun.
Perdana Menteri berkata, langkah itu akan memberi manfaat kepada 3,789 anggota dan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








