BERITA SEMASA

Operasi cari enam pendaki dikhuatiri hilang dimulakan

GERIK – Lapan anggota pasukan Operasi Taktikal Khas dan Penyelamat Malaysia (Storm) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak diaturgerak ke Pos Kemar bagi operasi pencarian enam individu yang dilaporkan hilang selepas menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Kelantan.

Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pasukan yang turut disertai lima anggota bomba itu akan menaiki bot dari Jeti Trojan ke Pos Kemar, sebelum berkumpul di lokasi berkenaan untuk memulakan operasi pencarian, lapor NST.

Beliau memberitahu, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan kumpulan berkenaan petang semalam dan kemudiannya mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama Bahagian Operasi sebelum memutuskan untuk melancarkan operasi pencarian pagi ini.

“Kumpulan yang hilang itu terdiri daripada dua jurupandu gunung dan sebuah keluarga yang mempunyai empat anggota.

“Kami mempunyai lapan anggota Storm dan lima anggota bomba yang akan bergerak dari Jeti Trojan ke Pos Kemar untuk berkumpul,” katanya.

Operasi SAR itu, katanya, membabitkan beberapa agensi termasuk polis, Jabatan Perhutanan, JBPM, Pasukan Gerakan Am dan jurupandu gunung.

Sayani berkata, seramai 12 anggota Persatuan Jurupandu Gunung (MGP) daripada Jabatan Perhutanan turut bertolak dari Sungai Siput menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan dijangka mengambil masa kira-kira empat jam untuk tiba di Pos Kemar.

Beliau berkata, mesyuarat penyelarasan antara agensi masih berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bagi memuktamadkan penugasan pasukan penyelamat serta operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Pos kawalan hadapan akan didirikan di Pos Kemar, manakala pos kawalan utama berkemungkinan ditempatkan di IPD Gerik. Bagaimanapun, perkara itu masih belum dimuktamadkan,” katanya.

Sayani berkata unit K9 jabatan itu telah tiba pagi ini dan berada dalam keadaan siap siaga untuk membantu operasi pencarian jika diperlukan.

Sementara itu, beliau berkata unit udara jabatan dijadual berlepas dari Bertam, Pulau Pinang, pukul 2 petang ini bagi menjalankan tinjauan udara.

Katanya, pencarian udara awal akan dimulakan dari lokasi terakhir kumpulan itu diketahui pada 1 September sebelum diteruskan ke arah Pos Kemar.

Laporan media semalam menyebut, enam individu termasuk empat beranak tidak dapat dihubungi selepas menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah dalam Hutan Simpan Kekal Lojing, Gua Musang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button