BERITA SEMASA

Ingkar bayar nafkah, bekas suami berdepan hukuman penjara, potong gaji, sita harta

KUALA LUMPUR – Bekas suami yang ingkar kepada perintah pembayaran nafkah di Wilayah Persekutuan boleh berdepan tindakan penguatkuasaan termasuk potongan gaji, penyitaan dan penjualan harta, malah perintah pengkomitan ke penjara tertakluk kepada proses kehakiman.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan sedang menyediakan cadangan pindaan terhadap Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah bagi memperkemas mekanisme penguatkuasaan terhadap pihak yang sengaja mengingkari perintah mahkamah.

Langkah itu turut memberi tumpuan kepada isu ketidakpatuhan perintah pembayaran nafkah yang ditetapkan Mahkamah Syariah, termasuk meneliti ruang penambahbaikan terhadap peruntukan undang-undang dan prosedur sedia ada supaya tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Kegagalan mematuhi perintah nafkah bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan ketidakpatuhan terhadap perintah mahkamah.

“Bergantung kepada keadaan dan fakta sesuatu kes, mahkamah mempunyai beberapa mekanisme penguatkuasaan, antaranya saman penghutang penghakiman, penyitaan dan penjualan harta, prosiding Hiwalah serta perintah pengkomitan ke penjara,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, mahkamah juga boleh mengambil tindakan terhadap wang atau harta penghutang penghakiman berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk melalui perintah tahanan pendapatan atau potongan gaji oleh majikan bagi melaksanakan pembayaran nafkah.

Jelasnya, mekanisme itu membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan melalui saluran perundangan tanpa penerima nafkah perlu bergantung semata-mata kepada komitmen bekas suami untuk membuat pembayaran secara sukarela.

Beliau bagaimanapun menegaskan, tindakan seperti pemenjaraan tidak dilaksanakan secara automatik oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), sebaliknya perlu melalui proses kehakiman dan berdasarkan perintah mahkamah selepas mengambil kira fakta serta tahap ketidakpatuhan dalam sesuatu kes.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button