BERITA SEMASA

Suami ingkar perintah pemberian nafkah di Selangor bakal berhadapan sitaan aset

Antara cadangan lain sedang diperhalusi termasuk perintah tahan pendapatan, penjualan harta pihak yang ingkar

SHAH ALAM – Suami yang culas dan ingkar dalam mematuhi perintah pemberian nafkah di Selangor bakal berdepan hukuman termasuk sitaan aset.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah, berkata, antara cadangan lain yang sedang diperhalusi termasuk perintah tahan pendapatan, hiwalah (garnishment order), atau penjualan harta pihak yang ingkar nafkah.

“Pemilihan mekanisme tepat dan efisien oleh pihak yang menuntut nafkah khususnya bekas isteri atau penjaga anak adalah antara faktor penting dalam memastikan keberkesanan penguatkuasaan perintah nafkah.

“Kegagalan memilih saluran atau mekanisme sesuai boleh menyebabkan kelewatan, kekeliruan dan akhirnya menjejaskan hak penerima nafkah,ā€ katanya ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Mohammad Fahmi berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) yang ingin tahu apakah usaha kerajaan negeri dalam menambah baik undang-undang supaya tindakan lebih tegas diambil terhadap suami yang culas membayar nafkah.

Beliau kemudiannya berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) juga sedang merangka peluang kerjasama strategik bersama agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan institusi kewangan bagi membantu proses pengesanan dan penyitaan aset pihak yang ingkar perintah nafkah.

ā€œMajlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama-sama JAKESS, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), ahli akademik dan pakar perundangan syariah sedang meneliti dan mencadangkan pindaan terhadap Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 bagi memperkemas peruntukan berkaitan penguatkuasaan perintah nafkah,ā€ katanya.

Beliau pada persidangan sama turut memaklumkan sebanyak 1,189 aduan pelanggaran nafkah diterima oleh Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Selangor sejak tahun 2022 hingga 31 Mei 2025.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button