BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Petunjuk baharu keberadaan menantu Muhyiddin dikesan – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan telah memperoleh beberapa petunjuk baharu berhubung keberadaan ahli perniagaan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang kini masih diburu pihak berkuasa.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hasil siasatan bersama polis antarabangsa (INTERPOL) sedang menunjukkan perkembangan positif, namun beliau enggan mendedahkan butiran lanjut bagi menjaga kerahsiaan dan kelancaran proses siasatan.

“Isu sekarang ialah mengenai keberadaannya. Saya boleh nyatakan bahawa kerjasama antara kita dengan polis antarabangsa sedang berjalan, dan memang kita sudah menemui beberapa petunjuk baharu.

“Namun, saya tidak mahu mengulas lebih lanjut kerana ia boleh mengganggu siasatan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH–Jelutong) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan boleh mendapatkan bantuan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN–Pagoh) untuk menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan menantunya itu.

Sementara itu, menjawab persoalan Ramkarpal Singh (PH–Bukit Gelugor) berhubung kerjasama dengan Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (INTERPOL) dalam mengesan Muhammad Adlan, Saifuddin mengesahkan perkara tersebut berada dalam perhatian badan antarabangsa berkenaan.

“Notifikasi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara kita memang berada dalam pengetahuan INTERPOL.

“Ketika pertemuan saya dengan Ketua INTERPOL di China beberapa minggu lalu, beliau turut mengesahkan bahawa notifikasi tersebut telah diterima dan berada dalam sistem mereka,” jelasnya.

Muhammad Adlan sebelum ini dilaporkan dikehendaki bagi membantu siasatan berkaitan beberapa kes yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button