MINDEF serah siasatan kes pegawai tentera mabuk kepada polis
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyerahkan sepenuhnya siasatan kes kemalangan maut membabitkan seorang pegawai tentera yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan dan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“Biarlah polis menjalankan siasatan dan saya tidak dapat menentukan sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya.
“Walaupun individu terbabit adalah anggota tentera, siasatan tetap perlu dilakukan oleh pihak polis,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga Bangladesh maut, manakala seorang wanita senegaranya cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak, awal pagi tadi.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, kejadian kira-kira jam 5.38 pagi itu melibatkan sebuah Perodua Alza e-hailing dan sebuah Ford Fiesta.
Siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kenderaan e-hailing berkenaan.
Dalam nahas itu, penumpang lelaki warga Bangladesh berusia 22 tahun maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang lagi penumpang wanita berusia 20 tahun mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Ujian pernafasan mendapati pemandu terbabit melebihi had alkohol dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif.
Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







