Dua maut rempuhan empat kenderaan di kawasan perumahan
JOHOR BAHRU – Dua lelaki maut dalam kemalangan tragis membabitkan empat buah kenderaan di kawasan perumahan Jalan Dedap 1, Taman Johor Jaya, di sini semalam.
Mangsa yang terkorban ialah pemandu Nissan GT-R berusia 29 tahun dan pemandu Perodua Axia berumur 30 tahun, masing-masing warga tempatan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Sohaimi Ishak berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku pada pukul 3.20 petang itu melibatkan sebuah Nissan GT-R, sebuah Kia Picanto dan dua buah Perodua Axia.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu Nissan GT-R dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah Kia Picanto yang dipandu wanita berusia 58 tahun serta dua buah Perodua Axia yang masing-masing dipandu lelaki tempatan berusia 30 dan 29 tahun.
“Akibat rempuhan tersebut, semua kenderaan terbabit terbabas ke bahu kanan jalan.
“Pemandu Nissan GT-R disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu Perodua Axia berusia 30 tahun yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Tambahnya, empat lagi mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut hanya mengalami kecederaan ringan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan semua pihak.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di talian 07-386 4222 bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








