Polis tumpaskan sindiket syabu bernilai RM10 juta di Kajang
KAJANG – Polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 315 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM10 juta dalam serbuan di sebuah tempat letak kereta di Kajang Perdana, di sini, Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dadah berkenaan ditemui dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HRV yang dipandu seorang lelaki tempatan.
Suspek dipercayai memainkan peranan sebagai penghantar dadah untuk sindiket yang aktif di Lembah Klang.
“Dalam serbuan yang dijalankan pada pukul 8.38 malam, polis menemui 15 guni beras Siam yang mengandungi 20 bungkusan plastik teh herba berisi dadah di tempat duduk penumpang belakang serta but kenderaan tersebut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.
Tambah beliau, lelaki tempatan berusia 25 tahun yang ditahan itu dipercayai mendapat upah sehingga RM10,000 bagi setiap penghantaran.
“Hasil siasatan awal mendapati sindiket tersebut telah mula beroperasi sejak awal tahun ini dan dipercayai memperoleh bekalan dadah dari negara jiran sebelum diseludup masuk melalui kawasan pantai timur.
“Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan kenderaan sebagai tempat penyimpanan sebelum dadah diedarkan kepada pembeli di sekitar Lembah Klang. Mereka juga dipercayai menggunakan kenderaan yang sama bagi setiap penghantaran,” katanya lagi.
Semakan rekod mendapati suspek yang ditahan mempunyai enam kesalahan jenayah lampau, termasuk lima kes berkaitan dadah dan satu kes jenayah lain. Ujian saringan air kencing juga mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek kini direman selama enam hari bermula 13 Oktober hingga 18 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.
Kok Chin berkata, dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 1.58 juta penagih. Pihak JSJN kini sedang giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan ahli sindiket yang masih bebas.
Beliau turut menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti pengedaran dadah melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






