BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Wanita buat laporan samun palsu selepas kalah judi RM10,000

BENTONG – Seorang wanita warga asing membuat laporan palsu mendakwa dirinya disamun di sebuah hotel akibat bimbang dimarahi teman lelakinya selepas kerugian berjudi di Genting Highlands, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, wanita berusia 25 tahun itu membuat laporan mendakwa kehilangan RM10,000 akibat disamun di hadapan lif sebuah hotel di Genting Highlands kira-kira jam 5.30 petang.

Menurutnya, wanita berkenaan mendakwa disamun oleh dua wanita warga asing. Namun, hasil siasatan polis termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hotel terbabit mendapati tiada kejadian samun seperti yang dilaporkan.

“Siasatan lanjut mendapati wanita itu telah berjudi di pusat perjudian di Genting Highlands dan mengalami kerugian sebanyak RM10,000. Bagi mengelakkan dimarahi teman lelaki, dia bertindak membuat laporan palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaiham berkata, susulan penemuan itu, pegawai penyiasat telah membuka kertas siasatan terhadap wanita berkenaan kerana membuat laporan polis palsu.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati wanita terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri ketika siasatan dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasa sah di sisi undang-undang, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, wanita berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button