Malaysia perlu politik bertanggungjawab, bukan cetus perpecahan – Anthony Loke
PUTRAJAYA – Malaysia memerlukan landskap politik yang lebih bertanggungjawab dan berteraskan penyelesaian masalah rakyat, bukannya retorik yang mencetuskan perpecahan demi kepentingan sempit.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, negara tidak boleh kembali kepada amalan lama yang menghakis kepercayaan rakyat serta membantutkan kemajuan dan pembangunan negara.
“Sambutan Tahun Baharu bukan sekadar menutup lembaran lama, tetapi peluang untuk menilai hala tuju diri dan negara.
“Malaysia memerlukan politik yang fokus kepada penyelesaian masalah, bukan mencetuskan perpecahan antara rakyat,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 hari ini.
Anthony berkata, kerajaan memahami bahawa kebanyakan rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup, manakala komuniti perniagaan pula berhadapan peningkatan kos untuk menjalankan operasi.
“Cabaran ini sentiasa berada dalam perhatian kerajaan dan usaha akan terus dipergiatkan bagi mengurangkan beban rakyat melalui dasar yang praktikal serta pelaksanaan yang berkesan,” katanya lagi.
Sebagai Anggota Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, amanah yang dipikul adalah untuk berkhidmat dengan jujur, membuat keputusan demi kepentingan awam serta memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat dan persekitaran perniagaan yang mampan.
“Jawatan awam adalah satu amanah dan amanah ini mesti dipikul serta dihormati setiap hari,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, parti itu akan terus berpegang kepada prinsip memperjuangkan sebuah negara yang berpandukan nilai demokrasi, keadilan dan keterangkuman.
“Kita mahu memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai peluang untuk berjaya dan hasil pembangunan dapat dirasai secara bersama,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, tadbir urus yang baik, berintegriti serta dasar yang berasaskan keperluan sebenar rakyat adalah asas kepada masa depan negara yang lebih kukuh.
“Perbezaan pandangan adalah sebahagian daripada demokrasi, namun ia tidak seharusnya menghalang kita daripada bekerjasama demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.
Mengakhiri perutusan, beliau menyeru semua pihak agar memperbaharui tekad untuk terus bekerja keras, melakukan perubahan lebih berani serta konsisten memperjuangkan keadilan, kebebasan dan kemajuan untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Selamat Tahun Baharu. Semoga tahun 2026 membawa harapan dan keyakinan baharu dalam membina Malaysia yang lebih baik,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








