BERITA SEMASA

Imigresen laksana 1,855 operasi, lebih 7,000 PATI ditahan sejak awal tahun

PUTRAJAYA — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terus memperkukuh penguatkuasaan undang-undang imigresen menerusi pelaksanaan operasi yang lebih tegas, menyeluruh dan berfokus terhadap warga asing yang melanggar peraturan negara.

Dalam kenyataan hari ini, JIM memaklumkan bahawa bagi tempoh 1 Januari hingga 19 Februari 2026, Bahagian Penguatkuasaan telah melaksanakan sebanyak 1,855 operasi di seluruh negara, melibatkan pemeriksaan terhadap 30,177 individu.

Daripada jumlah itu, seramai 7,043 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) daripada pelbagai warganegara telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, kesalahan tertinggi direkodkan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di Malaysia tanpa pas atau dokumen perjalanan yang sah, melibatkan 4,804 kes.

“Selain itu, sebanyak 1,250 kes direkodkan di bawah Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa, manakala 806 kes lagi melibatkan pelanggaran syarat pas di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Sebanyak 183 kes lain turut direkodkan membabitkan pelbagai kesalahan imigresen,” katanya.

Tambah beliau, dari segi taburan warganegara, lapan negara yang mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi ialah Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Filipina, Thailand, Pakistan, India dan China.

“Operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara konsisten tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang imigresen negara,” tegasnya.

Beliau turut menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang imigresen kepada pihak berkuasa bagi membantu memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button