BERITA SEMASA

Operasi mencari Hawari ditamatkan, disambung tahun depan

KATHMANDU – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Muhammad Hawari Hashim, 33, terpaksa ditamatkan hari ini dan akan disambung semula tahun depan.

Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak berkata, pihaknya sudah menjalankan operasi SAR bermula 19 Mei sehingga semalam namun masih belum menemui sebarang petunjuk.

Menurutnya, permit khas pencarian menggunakan dron dan SAR udara yang diluluskan pihak berkuasa Nepal juga sudah tamat dan aktiviti pendakian ke puncak Everest sudah ditutup bermula 29 Mei lalu.

Katanya, operasi SAR yang diadakan semalam turut mengesan satu objek antara Kem Dua dan Kem Tiga namun selepas dikenalpasti ia hanyalah longgokkan sampah dan khemah yang diterbangkan angin.

“Objek berkenaan dikesan melalui gambar dan video yang dirakam dron pada 8 Jun lalu menunjukkan seperti jasad Hawari berdasarkan warna sut yang digunakan beliau ketika misi pendakian namun kita sengaja tidak mendedahkannya kerana ia masih belum disahkan lagi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, selepas dilakukan pemeriksaan lanjut oleh tiga malim gunung bersama seorang jurugambar yang ditugaskan ke lokasi objek itu ditemui, mereka mengesahkan ia bukan jasad Hawari.

Dalam pada itu Azim berkata, operasi SAR terakhir yang diadakan semalam sepatutnya dilakukan pada Selasa lalu namun disebabkan cuaca buruk pasukan SAR dan helikopter tidak dapat masuk ke lokasi yang dikesan.

Objek yang pada mulanya disangka sebagai jasad Hawari

Katanya, operasi SAR ini dijangka disambung pada musim pendakian 2024 namun perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak yang berkenaan.

“Status Hawari diletakkan sebagai ‘orang hilang’ kerana jasadnya masih belum ditemui sehingga kini,” katanya.

Azim menambah, penamatan operasi SAR ini juga sudah dibincangkan dan mendapat nasihat daripada pihak Kedutaan Malaysia di Nepal.

Jelasnya, operator pengendali aktiviti pendakian ke puncak Everest di Nepal turut menyarankan agar operasi SAR ini ditangguhkan demi keselamatan pasukan SAR dan faktor cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Sebelum ini kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM1.48 juta dan Kerajaan Pulau Pinang RM500 ribu kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi operasi SAR Hawari.

Hawari yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dilaporkan telah hilang pada 19 Mei lalu.

Memetik laporan berita daripada media tempatan Nepal, The Himalayan Times (THT) pada Sabtu, Muhammad Hawari berjaya menawan puncak Everest sebelum dilaporkan hilang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button