BERITA SEMASA

Henti sebar video didakwa proses bawa turun jenazah Awang Askandar

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta menghentikan penyebaran video memaparkan proses membawa jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Awang Askandar Ampuan Yaacub seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak, 35, berkata, pihaknya menafikan video yang tular itu adalah proses membawa turun jenazah Awang Askandar kerana ia baharu bermula hari ini dan dijangka tiba di kem dua pada sebelah malam.

Menurutnya, tiada liputan internet di kem empat sehingga kem dua dan beberapa video yang tular itu juga sudah siap disunting termasuk berlatar belakangkan muzik.

Katanya, video yang tular itu mungkin membabitkan proses membawa turun pendaki lain yang berdepan masalah kesihatan dan setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang video proses membawa turun jenazah daripada malim gunung.

Justeru, katanya, pihaknya berharap semua pihak menghentikan sebarang penyebaran video yang tular berkaitan perkara itu.

“Semua pihak perlu menghormati sensitiviti ahli keluarga Allahyarham Awang Askandar yang masih dalam kesedihan,” katanya.

Ketika ini Azim bersama seorang pendaki ME 2023, Tiong Ling Yang,30, dan pengurus pasukan,Ayu Wanirah Naharuddin,30, berada di Everest Base Camp (EBC) bagi menunggu ketibaan jenazah di bawa ke hospital di Kathmandu untuk proses selanjutnya.

Beberapa video yang tular itu memaparkan seorang malim gunung sedang memikul individu yang dibungkus dengan rapi namun kelihatan individu berkenaan masih bernyawa.

Proses membawa turun jenazah Awang Askandar pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut itu sepatutnya diadakan kelmarin namun disebabkan berdepan masalah cuaca terpaksa ditangguhkan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button