BERITA SEMASA

Pendaki Malaysia bergerak ‘solo’ mungkin tidak termasuk rekod senarai hilang di Nepal – pendaki Everest

KUALA LUMPUR – Jumlah rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal tidak menggambarkan angka sebenar kerana ada yang melakukan perjalanan secara sendiri tanpa berdaftar dengan pihak berkuasa.

Pendaki Everest negara, Mohd Khafiz Bachok berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana terdapat rakyat Malaysia yang memilih untuk melakukan aktiviti ‘solo trekking’ tanpa menggunakan khidmat syarikat pelancongan berdaftar.

Menurut beliau, keadaan sedemikian boleh menyukarkan pihak berkuasa mengesahkan keberadaan seseorang sekiranya berlaku bencana.

“Pelbagai angka mengenai rakyat Malaysia yang terlibat dalam bencana di Nepal dilaporkan sebelum ini, termasuk 17, 24, sembilan dan 53 orang.

“Perbezaan itu berlaku kerana maklumat diperoleh daripada mereka yang membuat laporan kepada Kedutaan Malaysia serta data daripada Nepal Tourism yang disalurkan melalui syarikat pelancongan berdaftar,” katanya melalui hantaran di Facebooknya hari ini.

Ujarnya, masih terdapat kemungkinan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas tidak tersenarai kerana mereka melakukan perjalanan secara sendiri dan tidak mempunyai rekod dengan kedutaan atau syarikat pelancongan berdaftar.

Justeru, Khafiz mengingatkan kepentingan rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara supaya mendaftarkan perjalanan mereka dengan Kementerian Luar Negeri sebagai langkah keselamatan.

“Walaupun melancong ke negara jiran seperti Thailand, Singapura atau Indonesia, maklumkan perjalanan kepada Kementerian Luar Negeri,” katanya.

Katanya, pendaftaran rakyat Malaysia di luar negara boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman web Kementerian Luar Negeri dengan mengakses perkhidmatan e-Konsular atau menggunakan aplikasi mudah alih yang disediakan.

Dalam pada itu, Khafiz turut mengingatkan pengguna media sosial supaya tidak membuat spekulasi atau mengaitkan status individu yang masih belum dapat dihubungi dengan kematian.

Katanya, kerajaan Nepal dan Malaysia ketika ini masih menggunakan status seperti ‘tidak dapat dihubungi atau hilang’ bagi individu yang keberadaannya belum dapat disahkan.

“Jangan membuat hantaran yang maksudnya menjurus kepada kematian kerana perkara ini sangat sensitif, terutama kepada keluarga mangsa.

“Dalam situasi bencana seperti ini, semua maklumat perlu berdasarkan kenyataan dan sumber rasmi pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, tindakan berhati-hati dalam menyebarkan maklumat amat penting bagi mengelakkan kekeliruan serta menambah tekanan kepada keluarga rakyat Malaysia yang masih menunggu perkembangan mengenai nasib ahli keluarga mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button