BERITA SEMASALUAR NEGARA

Sherpa Everest disangka maut ditemui hidup selepas seminggu hilang

 

KATHMANDU – Seorang malim gunung atau sherpa dari Nepal yang dipercayai maut ketika mendaki Gunung Everest ditemui masih hidup selepas seminggu dilaporkan hilang ketika keluarganya telah pun memulakan upacara pengebumian mengikut tradisi tempatan.

Dawa Sherpa, 52, yang turut dikenali sebagai Hillary Dawa Sherpa sempena pendaki legenda Sir Edmund Hillary, dilaporkan hilang sejak 29 Mei lalu selepas gagal kembali ke kem pangkalan bersama kumpulan pendaki lain.

Sebelum itu, beliau kali terakhir dilihat di kawasan dikenali sebagai ‘zon maut’ berhampiran Kem 3 pada ketinggian lebih 7,200 meter, iaitu kawasan berisiko tinggi dengan paras oksigen yang terlalu rendah untuk manusia bertahan dalam tempoh lama.

Usaha pencarian menggunakan helikopter sebelum ini gagal mengesannya, menyebabkan ramai menganggap beliau telah meninggal di gunung tertinggi dunia itu.

Namun, Dawa ditemui hidup semalam oleh pasukan sokongan pendakian berhampiran Air Terjun Ais Khumbu, tidak jauh dari kem pangkalan Everest.

Menurut penyelaras operasi pencarian daripada 8K Expeditions, Pemba Sherpa, mangsa ditemui sedang merangkak menuruni cerun bersalji selepas dipercayai bertahan bersendirian selama beberapa hari dalam cuaca ekstrem.

Beliau mengalami frostbite pada kedua-dua tangan tetapi masih berada dalam keadaan stabil sebelum diberikan makanan dan minuman serta dibawa ke tempat selamat.

Mangsa kemudian diterbangkan ke sebuah hospital di Kathmandu untuk menerima rawatan lanjut.

Lebih mengharukan, isteri dan anak perempuannya yang telah memulakan upacara pengebumian tradisional selama beberapa hari hanya mengetahui Dawa masih hidup selepas melihat laporan berita tempatan.

“Kami mula mendengar dia masih hidup melalui berita. Pada mulanya kami tidak pasti sama ada individu itu benar-benar suami saya,” kata isterinya, Damu Sherpa.

Damu Sherpa ketika diselamatkan anggota penyelamat selepas sesat 6 hari di Gunung Everest.

Anak perempuan mangsa, Mendo Lhamu Sherpa berkata, keluarganya ketika itu sedang memasuki hari kedua upacara pengebumian apabila menerima berita mengejutkan tersebut.

“Kami meminta gambar dihantar terlebih dahulu sebelum yakin bahawa individu itu benar-benar ayah kami. Selepas itu, kami sangat gembira,” katanya.

Dawa yang bekerja dengan syarikat pendakian Himalayan Traverse ketika kejadian sedang membantu seorang pendaki dari Poland menuruni Everest.

Komuniti pendaki gunung Nepal menyifatkan kelangsungan hidup Dawa sebagai satu keajaiban memandangkan beliau berjaya bertahan selama beberapa hari dalam keadaan cuaca yang sangat getir dan kekurangan oksigen.

“Ini benar-benar satu keajaiban. Jika orang lain berada di tempatnya, mereka mungkin tidak akan dapat bertahan,” kata tokoh pendakian Nepal, Ang Tshering Sherpa.

Musim pendakian Everest tahun ini mencatat rekod paling sibuk dengan lebih 1,000 pendaki dan pemandu arah berjaya menawan puncak setinggi 8,849 meter itu, manakala lima kematian turut direkodkan sepanjang musim tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button