BERITA SEMASA

Festival Mega iLINDUNGu: PERKESO tawar potongan penalti hingga 80 peratus untuk Faedah Caruman Lewat Bayar

BUKIT MERTAJAM – Tawaran potongan penalti sehingga 80 peratus di bawah Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) terus menjadi magnet utama Festival Mega iLINDUNGu apabila majikan menunjukkan komitmen luar biasa untuk menjelaskan tunggakan caruman pekerja.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, penganjuran edisi pertama festival itu di Shah Alam baru-baru ini membuktikan keberkesanan inisiatif tersebut apabila berjaya mengumpul lebih RM251,000 melibatkan 466 majikan.

Steven bersama barisan tetamu kehormat pada pelancaran festival tersebut.

Menurutnya, para majikan menyambut baik peluang yang disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bukan sahaja kerana diskaun besar yang ditawarkan tetapi juga kesedaran untuk memastikan kebajikan pekerja terus terjamin.

“Semasa penganjuran festival penuh bermanfaat ini di Shah Alam, kita menerima 660 majikan yang layak diberikan tawaran diskaun FCLB sehingga 80 peratus.

“Jika mengikut perangkaan, jumlah keseluruhan FCLB adalah RM2.08 juta, namun selepas diskaun bayaran hanya sekitar RM416,000.

“Setakat ini, kita sudah berjaya kutip RM251,393.50 daripada 466 majikan, manakala selebihnya dalam proses pembayaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan jelajah mesra di Festival Mega iLINDUNGu@Evoke, Bukit Mertajam yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Susulan sambutan memberangsangkan di Shah Alam, PERKESO meneruskan tawaran diskaun FCLB sehingga 80 peratus di Pulau Pinang di samping menyediakan pelbagai perkhidmatan lain seperti semakan caruman, pendaftaran skim LINDUNG, khidmat nasihat dan sesi temu duga.

Perkeso iLINDUNGu
Seorang pelukis melakar sebuah potret berlatarkan podcast Steven.

Selain itu turut diadakan ceramah agama, saringan kesihatan, pertandingan e-sukan, persembahan budaya, aktiviti kanak-kanak dan hiburan.

Mengulas lanjut, Steven menegaskan objektif FCLB adalah memastikan caruman pekerja dijelaskan tepat pada masanya agar mereka sentiasa berada di bawah perlindungan sosial LINDUNG PEKERJA.

Beliau berkata, diskaun FCLB lazimnya ditawarkan pada April setiap tahun dan kadangkala dilanjutkan hingga Mei.

“Bagaimanapun, pelaksanaan khas semasa festival kali ini membuktikan komitmen Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO untuk memastikan tiada pekerja di Malaysia terpinggir dan tidak diLINDUNGi,” katanya lagi.

Steven bersama selebriti tanah air yang memberi sokongan sempena penganjuran festival berkenaan.

Festival Mega iLINDUNGu@Pulau Pinang turut menawarkan Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs yang menyediakan lebih 2,000 peluang pekerjaan daripada 20 majikan.

Turut memeriahkan festival ialah kehadiran personaliti popular seperti Bell Ngasri, Duo Elite, Baby Nassuhada, Ashraf Muslim, Sharifah Shahirah, Odah, Kimberly Chuah, Daniel Fong dan Satthiya Kandi serta suami.

Sesi malam pula menampilkan persembahan artis seperti Hyper Act, XPDC, Duo Elite (Azza dan Abby Abadi), Ruffedge, UNIC dan Apex Tajuddin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button