Rumah usang kini kembali didiami – Steven Sim bantu bina semula kekuatan keluarga Kak Umi
TIDAK semua pemimpin datang bertemu rakyat dengan iringan siren atau sambutan besar-besaran. Ada yang memilih untuk hadir senyap-senyap, mengetuk pintu rakyat tanpa diduga.
Itulah gaya Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, pemimpin yang percaya keikhlasan tidak perlu dipamerkan, tetapi mesti dirasai.
Beberapa minggu lalu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu singgah ke rumah seorang wanita kampung dikenali sebagai Kak Umi.
Hidupnya penuh kesederhanaan, tubuhnya pula sudah dimamah usia dan penyakit.
Namun di sebalik semua itu, keprihatinannya terhadap adiknya, Rosman yang merupakan seorang pesakit jantung mengatasi kepayahan dirinya sendiri.
Ketika diminta menceritakan kesusahan, Kak Umi tidak merintih tentang dirinya, sebaliknya mahu wakil rakyat itu mengutamakan adiknya.
“Kalau boleh, tolonglah bantu Rosman,” ujarnya.
Kata-kata itu meresap ke hati Steven. Ia bukan sekadar permintaan seorang kakak, tetapi doa seorang rakyat kecil yang mengharapkan perhatian.
Janji itu akhirnya ditunaikan dan rumah usang Rosman yang hampir roboh kini berganti dengan kediaman baharu yang selesa.
Saat rumah itu siap, Kak Umi menelefon dengan penuh kegembiraan.
“YB, rumah dah siap. Kami nak buat kenduri doa selamat, harap YB boleh datang,” katanya kepada Steven.

Steven hadir dan di depan matanya terbentang sebuah pemandangan yang menyentuh hati, rumah usang yang dahulu penuh retak kini berdiri megah, dihiasi senyuman syukur Rosman sekeluarga.
Lebih indah, jiran-jiran berbilang kaum turut sama hadir meraikan doa kesyukuran, menjadi cerminan sebenar semangat Malaysia Madani.
Menurut Steven, rumah itu bukan hasil daripada usaha beliau semata-mata tetapi dari semangat gotong-royong bersama rakyat yang juga prihatin.
“Lebih 20 pelajar pelbagai kaum dari “First CDK Engineering” turut membantu membinanya. Inilah gambaran bahawa kebajikan rakyat adalah usaha bersama, dipimpin dengan hati yang ikhlas,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Tidak berhenti di situ, Steven mencadangkan agar kedai makan lama keluarga itu diperbaiki semula supaya Rosman dapat berniaga dan berdiri atas kaki sendiri.
“Bantuan rumah hanyalah permulaan, tetapi yang lebih penting ialah peluang untuk memulakan hidup baharu,” katanya.
Bagi Steven, itulah makna sebenar menjadi seorang pemimpin. Bukan sekadar membuat dasar di pejabat, tetapi turun menyelami derita rakyat, kemudian mencari jalan agar mereka boleh kembali tersenyum.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








