BERITA SEMASALUAR NEGARA

Medan pulangkan bantuan UAE, patuh arahan pusat urus bencana secara dalaman

JAKARTA – Pemerintah Bandar Raya Medan memutuskan untuk memulangkan bantuan kemanusiaan daripada Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas menerima arahan Kerajaan Pusat agar semua urusan bantuan bencana di wilayah Sumatera dikendalikan sepenuhnya oleh agensi tempatan buat sementara waktu.

Rico Tri Putra Bayu Waas

Datuk Bandar Medan, Rico Tri Putra Bayu Waas berkata, keputusan itu dibuat susulan perbincangan dan penyelarasan bersama kementerian berkaitan serta Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), yang menetapkan penglibatan pihak asing dalam bantuan bencana di Sumatera ditangguhkan.

Menurut beliau, penetapan tersebut bertujuan memastikan aspek keselamatan, penyelarasan logistik dan dasar negara terus terpelihara selaras dengan kepentingan nasional.

“Kerajaan Pusat belum menerima bantuan antarabangsa ketika ini. Justeru, bagi pihak Kota Medan, bantuan tersebut tidak dapat diterima dan dipulangkan semula kepada Emiriah Arab Bersatu,” katanya ketika meninjau sebuah pasar raya di Medan Barat, baru-baru ini.

Rico menjelaskan, bantuan itu sebelum ini diterima secara simbolik pada 12 Disember lalu.

Namun, pihak berkuasa tempatan segera melakukan semakan dari sudut perundangan dan garis panduan melalui BNPB serta Kementerian Pertahanan.

“Hasil semakan mendapati terdapat arahan jelas supaya semua pengurusan bantuan bencana di Sumatera dikendalikan sepenuhnya oleh agensi tempatan tanpa penglibatan antarabangsa buat sementara waktu. Intinya, penerimaan bantuan luar negara ditangguhkan,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Duta Besar UAE, Shaima Al Hebsi, menyerahkan bantuan tersebut di pusat operasi kebajikan di Medan.

Bantuan yang dipulangkan merangkumi 30 tan beras, selain 300 pek barangan keperluan asas, 300 set keperluan bayi dan 300 set kelengkapan ibadah.

Walaupun bantuan berkenaan bernilai tinggi serta amat diperlukan, kerajaan bandar Medan memilih untuk mematuhi sepenuhnya dasar Kerajaan Pusat bagi memastikan pengurusan bencana kekal tersusun dan selaras dengan kepentingan negara.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, sebelum ini memaklumkan bahawa beberapa pemimpin dunia telah menghubunginya untuk menawarkan bantuan susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Sumatera.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Indonesia masih berupaya menangani situasi tersebut dengan kekuatan sendiri.

“Ramai pemimpin negara menawarkan bantuan, namun saya ucapkan terima kasih dan menyatakan bahawa Indonesia masih mampu mengatasinya,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Istana Negara, 15 Disember lalu.

Menurut Prabowo, keupayaan TNI, Polis Indonesia, BNPB dan Basarnas, selain sokongan puluhan helikopter serta pesawat pengangkut, membuktikan kesiapsiagaan negara mengurus bencana secara berdikari. – Agensi

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button