Cadangan tahanan rumah wajar dibahas berperingkat di Parlimen
KUALA LUMPUR – Cadangan memperkenalkan mekanisme tahanan rumah perlu dibahaskan secara berperingkat melalui institusi Parlimen bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan undang-undang serta prinsip keadilan.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, isu berkenaan bukan perkara kecil dan perlu ditangani dengan empati, kebijaksanaan serta kematangan bersama, khususnya apabila melibatkan keputusan kehakiman.
Menurut beliau, sebarang bentuk pelaksanaan hukuman atau kaedah penahanan tidak boleh dipisahkan daripada peruntukan undang-undang dan proses kehakiman yang telah ditetapkan negara.
“Isu seperti tahanan rumah perlu dijelaskan dengan berhati-hati dan dibincangkan secara berperingkat melalui Parlimen agar tidak menjejaskan maruah institusi serta rasa keadilan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shamsul turut merujuk kepada rasa empati terhadap perasaan, harapan dan kegusaran yang dirasai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung Titah Adendum.
Beliau mengimbau cadangan yang pernah dikemukakan PKR pada 2016 supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjalani hukuman penjara dibenarkan menjalani tahanan rumah.
“Kerajaan pada waktu itu secara rasmi menyatakan negara belum mempunyai peruntukan undang-undang khusus untuk melaksanakan tahanan rumah.
“Atas asas itu, cadangan berkenaan tidak dapat dilaksanakan meskipun terdapat pertimbangan dari sudut kesihatan dan kemanusiaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Shamsul mengingatkan rakan-rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan agar bersikap matang dan tidak memberi reaksi terburu-buru terhadap keputusan mahkamah.
“Keputusan kehakiman menyentuh emosi, maruah institusi dan rasa keadilan rakyat, justeru ia wajar ditanggapi dengan penuh tanggungjawab serta empati,” katanya lagi.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Alice Loke Yee Ching, memutuskan bahawa Titah Adendum berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








