Ansuran sudah bayar, kunci rumah belum dapat – Pembeli rayu tindakan
KUALA SELANGOR – Kegagalan pemaju menyiapkan projek perumahan Taman Mutiara di sini dalam tempoh dijanjikan menyebabkan pembeli terpaksa menanggung beban kewangan berganda sejak lima tahun lalu.
Wakil pembeli, Anas Anwaruddin Rosli, 38, berkata dia terpaksa membayar sewa rumah dan ansuran pinjaman serentak, selain tertekan menunggu kediamannya yang sepatutnya diserahkan pada 2018.
“Kami tertekan kerana terpaksa berhabis duit membayar ansuran rumah setiap bulan dan dalam masa sama menanggung bayaran sewa kerana belum boleh berpindah masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi town hall bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh, wakil pemaju dan agensi berkaitan.
Menurut Nurul Syazwani, sesi itu diadakan bagi menangani isu bukan sahaja di Taman Mutiara, malah turut membabitkan projek ‘sakit’ Rumah Selangorku di Taman Sungai Yu Indah.
Beliau berkata, projek Taman Sungai Yu Indah telah disenarai sebagai projek perumahan sakit oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Sebahagian besar isu membabitkan Air Selangor. Misalnya, tangki air sudah disediakan dan perunding memaklumkan dokumen berkaitan akan dihantar segera.
“Jika semua dokumen lengkap, surat sokongan daripada Air Selangor dijangka dapat dikeluarkan dalam tempoh dua minggu,” katanya.
Mengulas lanjut, Nurul berkata, hasil perbincangan dengan kedua-dua pihak pemaju, mereka menyatakan komitmen untuk menyelesaikan masalah berkenaan selewat-lewatnya Jun depan.
“Saya terima hampir 40 aduan rasmi daripada pembeli Taman Mutiara yang terpaksa membayar ansuran pinjaman rumah sejak lima tahun lalu tetapi masih belum boleh menduduki rumah masing-masing.
“Mereka juga perlu menanggung kos rumah sewa, bil utiliti dan cukai tanah. Sudah tentu beban kewangan ini terlalu lama ditanggung,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pembeli, Emil Nordin, 49, mengakui terkesan kerana terpaksa menyewa rumah lain sambil menyara lapan orang anaknya.
“Rumah sudah ada tapi tidak boleh diduduki. Setiap bulan saya bayar pinjaman dan dalam masa sama perlu bayar sewa rumah RM600 hingga RM700 sebulan.
“Saya dah tiga kali tangguhkan untuk keluar dari rumah sewa sekarang. Mujur tuan rumah benarkan saya terus menyewa,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








