Kakitangan TNB maut, motosikal rempuh MPV di Kuala Selangor
KUALA SELANGOR – Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 52 Jalan Klang–Teluk Intan, di sini semalam.
Dalam nahas yang berlaku pada pukul 1.35 tengah hari itu, mangsa berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada badan dan muka.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha MT09 dan Proton Exora yang dipandu seorang wanita berusia 59 tahun bersama rakan sekerjanya berumur 56 tahun.
“Siasatan awal mendapati pemandu MPV dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke Teluk Intan sebelum membelok ke kanan untuk singgah di sebuah kedai makan.
“Penunggang motosikal yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian sisi kenderaan berkenaan,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Akibat rempuhan, penunggang motosikal tercampak ke bahu jalan dan maut di tempat kejadian, manakala pemandu serta penumpang MPV cedera di bahagian muka.
Kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan lanjut, sementara mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital sama bagi tujuan bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Azaharudin turut meminta orang awam yang menyaksikan kejadian tampil memberikan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







