Empat maut termasuk remaja 18 tahun dalam nahas empat kenderaan di Tangkak
TANGKAK – Empat individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 18 tahun maut dalam kemalangan tragik melibatkan empat kenderaan di Jalan Muar–Segamat berhampiran Bandar Baru Sagil, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 malam itu, tiga buah motosikal dan sebuah kereta Perodua Myvi dipercayai bertembung di Kilometer 32.5 jalan berkenaan, menyebabkan keadaan di lokasi bertukar hiba apabila mangsa terbaring di atas jalan dengan kenderaan berselerak.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, berkata tiga mangsa disahkan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tangkak.
“Mangsa yang maut di lokasi terdiri daripada dua lelaki berusia 20 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun. Seorang lagi lelaki berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di hospital.
“Kesemua mereka merupakan penunggang dan pembonceng motosikal jenis Yamaha 135LC serta Yamaha Y15ZR,” katanya ketika dihubungi, seperti dilaporkan Buletin TV3.
Mereka yang terkorban ialah Alauddin Shah Zulkarnain, 20; Muhammad Darwish Kamarul Hafiz, 19; Sky Chang Ji Shiang, 20, dan Pang Choug Chong, 18.
Menurut beliau, pemandu dan penumpang kereta Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan awal mendapati insiden berlaku di jalan dua hala, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan kerana tiada saksi yang melihat bagaimana kemalangan tersebut berlaku.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian,” ujarnya.
Roslan dalam masa sama menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan rakaman serta gambar kejadian di media sosial yang boleh mengganggu siasatan.
“Polis juga meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung nahas ini tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairul Azmi Ibrahim di talian 011-12445836,” katanya.
Tragedi itu sekali lagi mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, khususnya di laluan berselekoh dan berhadapan risiko kemalangan, terutama pada waktu malam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








