JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga sekeluarga maut: Pemandu treler positif dadah direman 4 hari

SEGAMAT – Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan maut hingga mengorbankan tiga ahli keluarga di Kilometer 210, Jalan Johor Bahru–Seremban dekat Simpang Taman Golden Hill, Gemas Baru, semalam direman empat hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 29 tahun itu dikeluarkan Majistret Amalina Johar bermula hari ini sehingga Isnin.

Tindakan itu bagi membolehkan siasatan dilengkapkan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah Segamat, Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, suspek didapati positif dadah selepas ujian saringan air kencing dijalankan sejurus kejadian.

Menurutnya, lelaki itu ditahan petang semalam sebelum disahkan mengambil dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan sebelum ini dijalankan mengikut Seksyen 41(1) akta sama namun ditukar kepada Seksyen 44(1)(a) kerana memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang semalam, sebuah van dinaiki lima sekeluarga dirempuh dua lori, mengakibatkan tiga daripada mereka termasuk pasangan suami isteri maut di lokasi.

BACA JUGA:

Nahas tiga kenderaan: Suami isteri antara tiga maut di Segamat

Mangsa yang terkorban ialah pemandu van berusia lingkungan 70-an serta dua penumpang berusia 20-an dan 60-an.

Ketika kejadian, keluarga tersebut dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Taman Golden Hill, Gemas Baru.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button