BERITA SEMASA

Lelaki maut motosikal bergesel dengan lori

BUKIT MERTAJAM – Seorang penunggang motosikal maut selepas kenderaan ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori di Kilometer 13.9 Buttetworth-Kulim Ekspresway dari arah Kulim menghala Seberang Jaya di sini semalam.

Mangsa dikenali Irfan Azim, 19, berasal dr Kampung Surau Bakai, Kuala Ketil disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa yang datang dari arah Kulim menuju Seberang Jaya dipercayai bergesel dengan sebuah lori dari arah sama.

“Akibat kejadian itu, motosikal mangsa terbabas ke sebelah kiri jalan raya hingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di bahagian tangan dan kaki sebelum dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, ketika sedang menerima rawatan mangsa disahkan telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semala, tular video rakaman kamera papan pemuka kenderaan yang memaparkan kejadian kemalangan itu membabitkan mangsa dengan sebuah lori.

Mangsa tidak sempat mengelak lori terbabit yang secara tiba-tiba merapat ke kiri lorong kecemasan hingga menyebabkan motosikalnya terbabas.

Sementara itu, Helmi meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kemalangan itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di talian 04-5301342 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kemalangan yang mengakibatkan kematian.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button