3 warga emas maut nahas jalan raya di Tapah
TAPAH – Tiga lelaki warga emas maut manakala dua lagi rakan mereka cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 328.9 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), di sini pagi tadi.
Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 11 pagi itu membabitkan sebuah Proton X50 yang dinaiki lima warga emas dan sebuah Toyota Vios.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzie Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.19 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Tiga daripada lima penumpang Proton X50 disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan, manakala dua lagi mengalami kecederaan. Pemandu Toyota Vios turut cedera dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini, memetik laporan Harian Metro.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Chong Ong, 77; Teh Kim Kai, 76; dan Tan Ah Tak, 70.
Tambah beliau, operasi menyelamat menggunakan Pendekatan Sistem untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap (SAVER) dan melibatkan penggunaan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Operasi tamat sepenuhnya pada tengah hari,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa semua mayat dihantar ke Hospital Tapah untuk proses bedah siasat, manakala mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan maklumat terperinci akan dikongsikan dalam masa terdekat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








