100 hari di KUSKOP: Steven Sim tekad ‘power up’ perniagaan rakyat tanpa mengira kaum
KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim menegaskan komitmen untuk terus memperkasa perniagaan rakyat selepas 100 hari menerajui kementerian itu.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau merakamkan penghargaan kepada warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) atas usaha menjayakan pelbagai inisiatif yang memanfaatkan usahawan di seluruh negara.
“100 hari di KUSKOP bersama usahawan Malaysia. Terima kasih warga KUSKOP. You delivered,” tulisnya.
Menurut beliau, fokus utama adalah untuk memperhebatkan perniagaan Malaysia dengan memastikan sokongan diberikan secara inklusif tanpa mengira kaum dan agama.
“Kita nak ‘power up’ bisnes rakyat Malaysia tak kira kaum dan agama,” katanya ringkas.
Dalam tempoh 100 hari tersebut, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk peningkatan dana pembiayaan usahawan Bumiputera di bawah TEKUN daripada RM300 juta kepada RM500 juta.
Selain itu, skim pembiayaan baru berjumlah RM100 juta di bawah SME Bank dan Bank Rakyat untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kaum Cina serta dana pembiayaan untuk usahawan India melalui SPUMI dinaikkan daripada RM30 juta kepada RM50 juta.
Tidak ketinggalan, usaha memperkasa 300,000 usahawan wanita melalui Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEWI) bernilai RM3 bilion turut dilaksanakan.
Malah, perjanjian perniagaan bernilai RM2 bilion telah ditandatangani melalui Makkah Halal Forum 2026 di samping nilai jualan RM90 juta direkodkan dalam penyertaan KUSKOP di Japan Foodex.
Pencapaian lain termasuk RM254 juta yang diperuntukkan bagi memperkasa gerakan koperasi nasional, mewujudkan SKM Business School, rekayasa KUSKOP melibatkan pengurangan proses kerja serta penurunan kadar faedah dan fi bagi memudahkan urusan peniaga serta kerjasama dengan TikTok Shop bagi memperkasa lebih 3,000 usahawan PMKS.
Steven turut menegaskan bahawa usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan negara akan diteruskan bagi memastikan perniagaan tempatan lebih berdaya saing.
“Power up, jalan teruih!” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








