Syed Saddiq sumbang nasi lemak, lempeng kepada petugas media
PUTRAJAYA – Pengamal media yang membuat liputan keputusan rayuan akhir Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Persekutuan, di sini hari ini menerima pek makanan yang mengandungi nasi lemak dan lempeng.
Selain petugas media, makanan itu turut diagihkan kepada petugas di sekitar Istana Kehakiman serta penyokong yang hadir bagi mengikuti prosiding dan memberikan sokongan kepada bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu.
Kakak Syed Saddiq, Sharifah Amani berkata, sumbangan makanan tersebut disediakan atas inisiatif adiknya sebagai tanda penghargaan kepada semua yang hadir.
“Makanan ini adalah sumbangan daripada Yang Berhormat (YB) Syed Saddiq,” katanya.
Ini bukan kali pertama Syed Saddiq menyediakan juadah kepada petugas media.
Dalam beberapa prosiding mahkamah sebelum ini, beliau turut menyumbangkan makanan sebagai penghargaan kepada pengamal media yang membuat liputan kes melibatkan dirinya.
Mahkamah Persekutuan dijadual mengumumkan keputusan rayuan akhir hari ini bagi menentukan sama ada Syed Saddiq kekal dibebaskan atau disabitkan atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Keputusan mahkamah tertinggi negara itu bukan sahaja menentukan kedudukan Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen Muar, malah bakal menjadi detik penting dalam perjalanan politik ahli politik berusia 34 tahun itu selepas hampir enam tahun berdepan proses perundangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








