‘Hantaran masa depan’ jadi simbolik: Syed Saddiq sah tunangan Bella Astillah
KUALA LUMPUR – Dengan konsep hantaran bertemakan ‘masa depan’ yang unik dan penuh makna, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini selamat melangsungkan pertunangan dengan pelakon dan penyanyi, Bella Astillah.
Majlis penuh eksklusif itu dihadiri keluarga serta kenalan rapat pasangan berkenaan berlangsung dalam suasana penuh harmoni.
Bella tampil anggun mengenakan baju kurung moden berona biru pastel lengkap dengan layah di kepala.

Bergelar ibu kepada dua cahaya mata, Bella akhirnya rasmi bergelar tunangan kepada Syed Saddiq selepas ibu ahli politik itu, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz menyarungkan cincin di jari manisnya.
Dalam ucapan menyentuh hati, Syed Saddiq menyifatkan dirinya sebagai lelaki paling bertuah kerana dapat mengenali sisi sebenar Bella yang disifatkan sebagai seorang wanita cekal dan tidak pernah mengenal erti penat.
“Petang ini saya berucap bukan sebagai Ahli Parlimen atau pembahas, tetapi sebagai lelaki yang paling bertuah di muka bumi ini.
“Saya bertuah kerana dapat melihat sisi Bella yang tidak pernah kenal erti penat,” katanya.

Lebih mencuri perhatian, Syed Saddiq memperkenalkan konsep hantaran bertemakan masa depan yang disifatkan sebagai simbol komitmen jangka panjang terhadap pasangan dan keluarga.
BACA JUGA:
Bella Astillah, Syed Saddiq bakal bertunang petang ini, lamaran di puncak Kinabalu
PM ucap tahniah kepada Syed Saddiq, Bella Astillah
Beliau menyerahkan lima dulang hantaran merangkumi cincin pertunangan, simpanan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Tabung Haji atas nama Bella, selain simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk dua anak Bella, Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
Sebagai balasan, Bella menghadiahkan tujuh dulang hantaran bertemakan Gunung Kinabalu, sebagai simbolik kepada momen lamaran romantik yang berlaku ketika mereka mendaki gunung berkenaan sebelum ini.

Terdahulu, khabar gembira pertunangan pasangan yang dikenali sebagai BASS itu dikongsikan Syed Saddiq menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.
“I asked, she said yes. Ini bukan pengakhiran cerita, ini permulaan kita,” tulis Syed Saddiq.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








