DALAM NEGERI

Jerebu: TASKA Johor beroperasi seperti biasa, PDK dan pusat aktiviti kanak-kanak ditutup lima hari

JOHOR BAHRU – Semua Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di seluruh Johor akan terus beroperasi seperti biasa mulai 12 hingga 16 Oktober ini, meskipun penutupan sekolah dilanjutkan susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Hasrunizah Hassan berkata, bagaimanapun, semua aktiviti luar di TASKA hendaklah dihentikan bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada udara tidak sihat.

Beliau berkata, operasi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak di seluruh negeri pula akan ditutup selama lima hari, bermula Isnin hingga Jumaat depan.

“Langkah ini diambil selaras dengan langkah keselamatan susulan keadaan jerebu semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Hasrunizah turut mengingatkan ibu bapa, penjaga dan pengusaha TASKA supaya sentiasa memantau keadaan kesihatan kanak-kanak, memastikan pengambilan air mencukupi serta mengelakkan aktiviti luar.

Beliau juga menasihatkan supaya kanak-kanak yang mengalami gejala seperti batuk, sakit tekak, sesak nafas atau ketidakselesaan akibat jerebu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera.

Menurutnya, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan perkembangan semasa.

“Sebarang perubahan operasi atau arahan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan dan nasihat pihak berkuasa,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak agar memberikan kerjasama dengan mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan kanak-kanak sepanjang tempoh jerebu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button