JPJ Kuala Lumpur kesan tawaran IDP meragukan pada harga RM500
KUALA LUMPUR – Tawaran dokumen yang didakwa sebagai Permit Memandu Antarabangsa (IDP) kepada warga asing pada harga sehingga RM500 dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, dengan tempoh sah kononnya mencecah lima tahun.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, dokumen berkenaan dipercayai tidak memenuhi keperluan pengiktirafan bagi membolehkan pemegangnya memandu secara sah di Malaysia.
“Sehubungan itu, warga asing dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran permit memandu antarabangsa daripada pihak yang tidak mempunyai kuasa atau pengiktirafan sah.
“IDP yang dikeluarkan JPJ Malaysia hanya mempunyai tempoh sah selama setahun, selaras dengan Konvensyen mengenai Lalu Lintas Jalan Raya yang ditandatangani di Geneva pada 19 September 1949,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, penggunaan permit berkenaan juga tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa di negara atau wilayah berkaitan.
Dalam pada itu, pemilik kenderaan, pengusaha serta pihak yang menawarkan perkhidmatan sewaan kenderaan diingatkan supaya memastikan kenderaan hanya diserahkan kepada individu yang mempunyai kelayakan memandu yang sah.
Beliau turut menegaskan bahawa penguatkuasaan Ops PeWA akan terus dipergiat dari semasa ke semasa menerusi kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan keselamatan serta kepentingan awam sentiasa terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
