BERITA SEMASA

Pemilihan PKR 2025: 251 calon tawar diri bertanding, senarai muktamad diumum 15 Mei

KUALA LUMPUR – Menjelang Pemilihan PKR 2025 pada 23 Mei ini, seramai 251 calon menawarkan diri bertanding bagi merebut tempat dalam senarai pimpinan peringkat Pusat, termasuk sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata daripada jumlah berkenaan, 104 pencalonan diterima bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), 85 bagi majlis pimpinan AMK dan 61 bagi majlis pimpinan Wanita PKR.

Menurut Dr Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), penyertaan memberangsangkan itu membuktikan PKR tidak ketandusan bakat pelapis.

Tambah beliau, penyertaan seramai itu dapat mengukuhkan lagi kedudukan PKR sebagai wadah perjuangan yang sentiasa memberi ruang kepada tokoh baharu dalam memperkasakan demokrasi dalaman parti.

“Tempoh bantahan berlangsung selama dua hari bermula esok, diikuti dengan proses rayuan terhadap sebarang bantahan pada 13 dan 14 Mei. Senarai akhir calon peringkat Pusat akan dimuktamadkan pada 15 Mei.

“Tempoh rasmi berkempen akan bermula sejurus selepas senarai dimuktamadkan dan akan berakhir pada 22 Mei, jam 11.59 malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha Menasihatkan calon agar sentiasa mematuhi segala peraturan dan tata etika pemilihan seperti ditetapkan, selain menegaskan pentingnya mereka mengamalkan kempen berhemah, matang dan saling menghormati.

“Pemilihan itu perlu menjadi ruang memperkukuhkan saf perjuangan dalam semangat kekeluargaan yang telah menjadi asas PKR sejak sekian lama.

“JPP merakamkan penghargaan kepada semua calon dan anggota parti yang terus komited menjayakan proses pemilihan kali ini secara tertib, telus dan penuh integriti.

“Komitmen ini adalah cerminan kekuatan sebenar PKR sebagai parti yang terus mara ke hadapan bersama rakyat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button