Enam anggota pengaman PBB maut dalam serangan dron di Sudan
SUDAN – Sekurang-kurangnya enam anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Bangladesh maut dan beberapa lagi cedera dalam serangan dron yang menyasarkan kem United Nations Interim Security Force for Abyei (UNISFA) di Kadugli, wilayah Kordofan Selatan semalam.
Menurut laporan Al Jazeera, serangan itu merupakan salah satu insiden paling tragik terhadap anggota misi pengaman PBB dalam konflik yang sedang berlanjutan di negara tersebut.
UNISFA mengesahkan bahawa enam anggota tentera Bangladesh terbunuh manakala lapan lagi cedera termasuk empat parah dalam serangan dron terhadap pangkalan logistik mereka.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, mengecam serangan ‘mengerikan’ itu dan menyifatkannya sebagai tindakan yang mungkin merupakan jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa.
“Serangan seperti yang berlaku hari ini (semalam) di Kordofan Selatan terhadap anggota pengaman tidak boleh diterima.
“Mereka yang terlibat perlu dipertanggungjawabkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, pemimpin sementara Bangladesh, Muhammad Yunus dalam satu kenyataan rasmi menyatakan kesedihan mendalam terhadap kematian anggota pasukan negaranya.
Beliau menzahirkan sokongan penuh kerajaan Bangladesh kepada keluarga mangsa terlibat selain menegaskan kerajaan akan memastikan mangsa cedera mendapat bantuan kecemasan yang diperlukan dan berdiri bersama keluarga mangsa dalam waktu sukar ini.
Serangan itu berlaku di tengah konflik bersenjata yang lebih luas antara tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF), satu kumpulan separa tentera yang telah berperang dengan tentera kerajaan sejak April 2023 dalam usaha untuk menguasai kawalan politik dan strategik negara.
Wilayah Kordofan termasuk Kadugli telah menyaksikan peningkatan keganasan sepanjang perang termasuk serangan sebelumnya yang telah menyebabkan ramai korban dan meruntun krisis kemanusiaan seperti kebuluran dan pemindahan besar penduduk awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














