JENAYAH & MAHKAMAH

Nahas maut warga Bangladesh: Pegawai tentera mabuk didakwa hari ini

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai tentera yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kemalangan maut di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) membabitkan seorang pempengaruh permainan video dari Bangladesh, akan didakwa di mahkamah hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asistan Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kertas siasatan kes itu sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya semalam.

Menurutnya, Ketua Bahagian Pendakwaan bersetuju supaya suspek berusia 31 tahun itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian penumpang lelaki sebuah kenderaan e-hailing.

“Pertuduhan juga akan dibuat mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan dengan kandungan alkohol melebihi had ditetapkan sehingga menyebabkan kecederaan.

“Dua pertuduhan berasingan akan dibuat membabitkan kecederaan kepada penumpang dan pemandu kenderaan e-hailing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan akan dibuat pada pukul 9.30 pagi di Mahkamah Sesyen Jenayah Jalan Duta.

BACA JUGA:

Pegawai tentera mabuk rempuh MPV e-hailing, penumpang warga Bangladesh maut

Katanya, dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pula akan dibuat pada pukul 10.30 pagi di Mahkamah Trafik Jalan Duta.

Dalam kejadian pada 23 April lalu, seorang penumpang lelaki warga Bangladesh maut selepas kenderaan e-hailing yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 1.9 Lebuhraya MEX.

Kemalangan itu turut menyebabkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang kenderaan berkenaan.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai pempengaruh permainan video terkenal dari Bangladesh, Muzahid Millad, 22, atau lebih dikenali sebagai Advance Gaming.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala isterinya, Nafisa Tabassum Adiba, 23, dilaporkan cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sebelum kejadian, pasangan yang berasal dari Habiganj, Bangladesh itu dilaporkan baru tiba di Malaysia untuk bercuti selama seminggu di ibu negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button