China, Rusia lancar latihan tentera laut bersama di Laut Jepun
VLADIVOSTOK – China dan Rusia memulakan latihan ketenteraan laut bersama di Laut Jepun dalam usaha mengukuhkan kerjasama pertahanan serta mengimbangi pengaruh ketenteraan yang dilihat dipimpin oleh Amerika Syarikat di peringkat global.
Latihan ketenteraan bertajuk Joint Sea-2025 itu bermula di perairan berhampiran pelabuhan Vladivostok, Rusia dan akan berlangsung selama tiga hari, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan China, semalam.
Latihan tersebut melibatkan pelbagai simulasi operasi ketenteraan termasuk menyelamat kapal selam, operasi anti-kapal selam secara bersama, pertahanan udara, pertahanan peluru berpandu serta serangan tempur maritim.
Empat kapal tentera laut China termasuk dua kapal pemusnah peluru berpandu jenis guided-missile destroyer, Shaoxing dan Urumqi, mengambil bahagian dalam latihan itu bersama beberapa kapal milik Tentera Laut Rusia.
Selepas tamat latihan, kedua-dua negara dijadual melaksanakan rondaan bersama di beberapa perairan relevan di Lautan Pasifik, kata kementerian itu.
China dan Rusia telah menjalankan latihan tahunan bersama sejak tahun 2012 menerusi siri latihan Joint Sea.
Tahun lalu, latihan berkenaan berlangsung di perairan pesisir selatan China.
Bagaimanapun, latihan tahun ini yang diadakan di Laut Jepun menimbulkan kebimbangan keselamatan kepada Tokyo.
Dalam laporan tahunannya bulan lalu, Kementerian Pertahanan Jepun menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kerjasama ketenteraan antara China dan Rusia.
Dalam pada itu, Tentera Laut Armada Pasifik Rusia menegaskan bahawa latihan itu bersifat defensif dan tidak disasarkan kepada mana-mana negara lain, menurut laporan portal analisis ketenteraan US Naval Institute.
Kementerian Pertahanan China pula menyatakan latihan berkenaan bertujuan untuk terus memperdalam perkongsian strategik menyeluruh antara kedua-dua negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








