BERITA SEMASALUAR NEGARA

Russia jadi negara pertama iktiraf kerajaan Taliban Afghanistan

MOSCOW – Russia secara rasmi menjadi negara pertama mengiktiraf kerajaan Taliban di Afghanistan sejak kumpulan itu mengambil alih kuasa pada tahun 2021.

Kementerian Luar Russia dalam satu kenyataan berkata, pengiktirafan rasmi terhadap kerajaan Emiriah Islam Afghanistan itu dijangka membuka ruang kepada kerjasama dua hala yang lebih produktif dalam pelbagai bidang.

“Kami percaya bahawa tindakan pengiktirafan rasmi terhadap kerajaan Emiriah Islam Afghanistan akan memberi dorongan kepada pembangunan kerjasama dua hala yang produktif antara negara kami dalam pelbagai sektor,” menurut kenyataan itu.

Gambar hiasan : Bandar Kabul, Afghanistan.

Russia turut menyatakan keyakinan terhadap potensi besar kerjasama dalam sektor perdagangan dan ekonomi, khususnya melibatkan projek berkaitan tenaga, pengangkutan, pertanian serta pembangunan infrastruktur.

“Kami akan terus membantu Kabul dalam usaha memperkukuh keselamatan serantau serta memerangi ancaman keganasan dan jenayah berkaitan dadah,” tambah kenyataan tersebut.

Kementerian itu juga turut menyiarkan gambar duta baharu Afghanistan ke Russia, Gul Hassan Hassan, menyerahkan watikah pelantikannya kepada Timbalan Menteri Luar Rusia, Andrey Rudenko.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan menerusi platform X, Kementerian Luar Taliban menyifatkan keputusan Russia itu sebagai satu langkah yang positif dan penting.

Kenyataan itu turut disertakan gambar pertemuan antara Menteri Luar Taliban, Amir Khan Muttaqi bersama Duta Russia ke Kabul, Dmitry Zhirnov.

Pengiktirafan itu hadir beberapa bulan selepas Mahkamah Agung Russia menarik semula penyenaraian Taliban sebagai kumpulan pengganas, membuka jalan kepada hubungan diplomatik secara terbuka antara kedua-dua pihak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button