18 maut, puluhan dipindahkan susulan banjir, tanah runtuh di Kenya
NAIROBI – Sekurang-kurangnya 18 maut manakala puluhan lagi dipindahkan akibat banjir dan tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat di beberapa bahagian Kenya.
Al-Jazeera yang memetik kenyataan pihak berkuasa berkata, kejadian tanah runtuh dilaporkan di daerah Tharaka Nithi, Elgeyo-Marakwet dan Kiambu di wilayah tengah serta timur negara itu, semalam.
“Dalam insiden tersebut, seramai 18 orang disahkan maut. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam keadaan cuaca ini,” kata kenyataan itu.
Insiden sama turut menyebabkan aliran lumpur yang menjejaskan “banyak keluarga, menyebabkan penduduk terpaksa berpindah serta mengakibatkan kerosakan besar terhadap harta benda dan infrastruktur,” kata kenyataan itu lagi.
Bagaimanapun, kenyataan tu tidak menyebut jumlah sebenar penduduk yang dipindahkan.
Laporan media tempatan menunjukkan jalan-jalan di ibu negara, Nairobi, dilimpahi air ketika kenderaan dan pejalan kaki meredah banjir.
Jumaat lepas, pihak berkuasa memberi amaran bahawa fenomena hujan lebat akan membawa risiko kesihatan seperti penyakit bawaan air, selain berkemungkinan merosakkan tanaman dan tanah pertanian di seluruh negara.
Ini merupakan kali kedua beberapa kawasan di Kenya dilanda banjir besar dalam tempoh kurang dua bulan.
Mac lalu, kejadian banjir di beberapa bahagian Nairobi mengorbankan sekurang-kurangnya 37 orang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















