Tiga PPS dibuka susulan banjir di Melaka Tengah, Alor Gajah
ALOR GAJAH – Sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat banjir membabitkan 22 kawasan di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah, hari ini.
Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim, PPS pertama dibuka ialah di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Masjid Tanah pukul 2 petang tadi bagi menempatkan mangsa banjir dari tiga kawasan, iaitu Taman Masjid Tanah Ria, Jalan Bandar Baru Masjid Tanah dan Kampung Pulau Semut.
“Setakat ini, 15 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di PPS ERKIM Masjid Tanah bagi daerah Alor Gajah.
“Bagi daerah Melaka Tengah pula, dua PPS telah dibuka, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bertam Ulu pada 3.10 petang manakala Japerun Pantai Kundor dibuka pada 3.27 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, setakat pukul 4 petang tadi, mangsa di kedua-dua PPS masih dalam proses pemindahan.
Semua agensi berkaitan digerakkan bagi memantau keadaan selain membantu operasi pemindahan mangsa.
Beliau berkata, sebanyak 19 kawasan direkodkan terjejas akibat banjir di daerah Melaka Tengah, iaitu Kampung Bandar Kaba, Taman Wan Show Bukit Cina, Kampung Bukit Beruang, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Melawis, Taman Seri Jati, Kampung Kandang, Kampung Balai Panjang, Kampung Batu Berendam dan Kampung Padang Pokok Mangga.
Turut terjejas, Kampung Bakar Batu, Kampung Batu Hampar, Kampung Pulau Kelapa, Kampung Musa, Kampung Solok Bukit Palah, Kampung Bachang, Kampung Sarang Helang, Kampung Peringgit dan Bertam Ulu.
Difahamkan, hujan lebat yang turun sejak kira-kira pukul enam pagi tadi menyebabkan paras air sungai dan parit meningkat sebelum melimpah ke kawasan penempatan penduduk di kawasan rendah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















