Penduduk Taman Bunga Raya diarah berpindah, 17 rumah dikosongkan susulan tanah runtuh
KUALA LUMPUR – Seramai 52 penduduk di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang di sini diarahkan berpindah susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku akibat hujan lebat di sekitar ibu negara, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, arahan pengosongan itu membabitkan sebanyak 17 rumah yang berisiko tinggi.
“Semalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah tutup dengan kanvas kawasan kiri, kanan di tempat kejadian dan bomba tak masuk ke kawasan itu (semalam) sebab ada sedikit pergerakan tanah apabila mereka naik ke kawasan itu.
“Tetapi pergerakan (tanah) itu tidak serius mana, sebenarnya kediaman terbabit tidak terjejas (struktur rumah) cuma (jarak) tanah runtuh itu ada lagi kira-kira dua kaki (0.6 meter) daripada rumah berkenaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Terdahulu beliau menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa terdiri daripada 26 lelaki dan 26 wanita diarah mengosongkan kediaman masing-masing kerana dibimbangi berlaku tanah runtuh susulan.
Katanya, satu pusat pemindahan sementara (PPS) turut dibuka di Dewan Badminton Taman Bunga Raya untuk semua penghuni yang terjejas.
“Ada sebahagian kecil yang tinggal sementara di PPS, manakala selebihnya memilih untuk menumpang di rumah saudara mara dan juga di hotel.
“Tiada kediaman yang terjejas dalam kejadian itu, cuma sebuah rumah berada dekat dengan tebing yang runtuh, dengan jarak kira-kira dua kaki.
“Berikutan itu, atas nasihat pihak bomba, penduduk di 17 kediaman terbabit dinasihatkan berpindah kerana lokasi masih berisiko,” katanya.
Mohamad Lazim berkata, sebuah balai polis bergerak ditempatkan di lokasi kejadian bagi menjamin keselamatan awam dan memantau keadaan semasa bersama pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan DBKL.
Katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut berada di lokasi bagi menguruskan urusan perpindahan sementara penduduk yang terjejas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








