BERITA SEMASA

Tanah runtuh: Penduduk Blok C Puncak Arabella diarah berpindah

CAMERON HIGHLANDS – Sebanyak 13 keluarga yang mendiami Blok C, Pangsapuri Puncak Arabella di Tanah Rata yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh, malam tadi sudah diarah berpindah.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata, seramai 17 individu daripada empat keluarga kini berlindung di sebuah dewan dalam kawasan pangsapuri itu, manakala baki sembilan keluarga lain menumpang di rumah saudara-mara.

mangsa tanah runtuh
Seramai 17 individu daripada empat keluarga kini berlindung di sebuah dewan dalam kawasan pangsapuri berkenaan. – GAMBAR IHSAN IPD CAMERON HIGHLANDS

Tambahnya, Blok C berkenaan mempunyai 28 unit pangsapuri, namun hanya 13 unit didiami, manakala baki 15 unit lagi kosong.

“Kejadian tanah runtuh semalam menghalang laluan masuk ke unit pangsapuri yang menempatkan 346 keluarga. Bagaimanapun, laluan itu berjaya dibersihkan dan dibuka semula pada jam 2.30 pagi tadi.

“Seramai 53 orang daripada 13 keluarga tinggal di Blok C, yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko sementara menunggu penilaian oleh agensi berkaitan bagi menentukan sama ada blok itu boleh didiami atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian malam tadi, tanah runtuh membabitkan cerun setinggi 30 meter di bawah Blok C Pangsapuri Puncak Arabella menyebabkan ratusan penduduk terperangkap selama beberapa jam selepas laluan terputus di kedua-dua arah.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Azri memberitahu, siasatan awal mendapati hujan lebat berterusan semalam menyebabkan pergerakan tanah yang menyekat laluan utama ke unit pangsapuri kira-kira jam 8.30 malam.

Tambahnya, Jabatan Mineral dan Geosains akan menilai keadaan tanah di kawasan terjejas hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button