BERITA SEMASA

Tanah runtuh: Laluan utama ke Pos Simpor dan Pos Gob, Gua Musang dibuka semula

PUTRAJAYA – Laluan utama ke Pos Simpor dan Pos Gob, Gua Musang, Kelantan yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh telah dibersihkan dan kini boleh dilalui semula oleh semua kenderaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejadian tanah runtuh itu sebelum ini telah menjejaskan akses ke 26 buah kampung Orang Asli melibatkan lebih 2,000 penduduk.

“Sebelum ini, saya telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mengambil tindakan segera bersama agensi berkaitan bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta memastikan laluan yang terjejas dapat dipulihkan secepat mungkin.

“Dalam masa yang sama, kerja-kerja pembaikan awal sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Laluan utama ke Pos Simpor dan Pos Gob, Gua Musang yang terjejas akibat tanah runtuh dibuka untuk semua kenderaan.

Dalam pada itu beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan yang mengakibatkan hakisan di lereng-lereng bukit serta jalan utama ke kawasan berkenaan.

Katanya, berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh JAKOA Kelantan, sebanyak 12 lokasi telah dikenal pasti mengalami hakisan dan kerosakan.

“KKDW sentiasa komited untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan aksesibiliti masyarakat Orang Asli sentiasa terpelihara, khususnya dalam situasi bencana alam yang tidak dijangka seperti ini.

“Saya juga telah meminta laporan berkala dikemukakan kepada kementerian bagi pemantauan berterusan dan perancangan penyelesaian jangka panjang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button