OP MARDOF perkukuh kawalan Maritim Kelantan
PASIR PUTEH – Operasi Bersepadu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mengesan pelbagai pelanggaran undang-undang dalam Operasi MARDOF di perairan Kelantan, baru-baru ini.
Operasi bersama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) di sekitar kawasan perairan dan jeti nelayan Tok Bali itu menyasarkan penguatkuasaan terhadap pencerobohan oleh vesel nelayan asing (VNA) dan memastikan vesel nelayan tempatan mematuhi peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta APMM 2004.
Hasil pemeriksaan ke atas 26 buah vesel, satu tangkapan dibuat ke atas kesalahan pemalsuan dokumen vesel, satu kompaun kerana gagal mengaktifkan sistem MTU, tiga sitaan pukat tidak mematuhi saiz mata jaring.
“Seramai 30 anggota gabungan digerakkan dalam operasi yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim Amiludin Yenggah.
“Pemeriksaan turut memberi tumpuan kepada pengubahsuaian tidak sah pada tangki minyak serta penggunaan peralatan menangkap ikan yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” kata Maritim Malaysia dalam kenyataan di media sosial hari ini.
Menurutnya, perlaksanaan OP MARDOF mencerminkan komitmen kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara dan memastikan kelestarian sumber marin terpelihara melalui pendekatan penguatkuasaan yang bersepadu.
Kerjasama erat antara APMM dan DOF dilihat sebagai satu strategi berkesan dalam memperkukuh pemantauan maritim negara serta mengekang pelbagai bentuk kegiatan haram yang mengancam keselamatan dan sumber perikanan di perairan Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








