Pemilik kilang ais didenda RM50,000 curi air untuk operasi premis
KOTA BHARU – Seorang pemilik kilang ais terkenal di Kelantan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan sambungan air secara haram bagi tujuan operasi pemprosesan ais di premisnya.
Hukuman dijatuhkan Hakim Nik Habri Muhamad terhadap tertuduh, Mohamad Yusrid Mohd Yusof, 34, selepas pertuduhan dibacakan dan dia mengaku bersalah.
Nik Habri berkata, kesalahan mencuri air merupakan perbuatan serius dan perlu dijadikan peringatan kepada pengusaha lain.
“Ini syarikat besar, tidak ada sebab untuk tidak membayar bil air. Hukuman ini sebagai amaran agar perbuatan seperti ini tidak berulang,” memetik laporan Awani.
Mengikut fakta kes, pemeriksaan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pada 7 Jun 2018 menemui sambungan haram menggunakan paip polietilena berdensiti tinggi berukuran 32 milimeter yang ditanam di bawah lapisan konkrit di kawasan kilang berkenaan di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa.
Sambungan itu menyalurkan air terawat AKSB ke dua tangki simpanan, satu di luar premis dan satu lagi di dalam bangunan yang menjadi sumber utama untuk pemprosesan ais batu.
Ujian klorin ke atas sampel dari sambungan tidak sah dan tangki premis menunjukkan pertukaran warna daripada jernih kepada merah jambu, mengesahkan ia adalah air terawat AKSB.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suhaidariah Ahmad, memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kesalahan itu dilakukan bagi tujuan komersial.
“Kesalahan berlaku selama 17 bulan dan mengakibatkan kerugian kepada AKSB dianggarkan sebanyak RM41,337.20,” katanya lagi.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar denda dikurangkan, namun mahkamah mengekalkan denda RM50,000 dan memerintahkan tertuduh dipenjara 17 bulan sekiranya gagal membayar.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








