BERITA SEMASA

35 maut akibat penyakit TB di Kelantan sejak Januari hingga Julai

KOTA BHARU – Sebanyak 35 kematian akibat penyakit Tuberkulosis (TB) direkodkan di Kelantan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin
berkata, sepanjang Januari hingga Julai 2025 sebanyak 636 kes TB dilaporkan di seluruh negeri dengan Kota Bharu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 178 kes, diikuti Pasir Mas 80 kes dan Tumpat 75 kes.

“Sehingga Julai 2025, terdapat 14 wabak TB dikesan melibatkan tujuh daerah dengan Kota Bharu merekodkan bilangan wabak paling tinggi.

Kebanyakan kes berlaku dalam kalangan isi rumah, dengan purata dua kes membabitkan kontak rapat kepada pesakit indeks,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, golongan berisiko tinggi di Kelantan kebanyakannya terdiri daripada warga emas berusia 65 tahun ke atas, berbangsa Melayu serta mempunyai penyakit kronik seperti diabetes selain tabiat merokok.

“Bagi mengawal penularan JKNK melaksanakan beberapa langkah antaranya mempergiat promosi kesedaran, pemeriksaan segera terhadap individu bergejala batuk berpanjangan dan saringan kepada kumpulan berisiko tinggi menggunakan teknologi diagnostik terkini.

“Pemantauan rawatan juga diperkukuh bagi memastikan pesakit mematuhi terapi selain meningkatkan kapasiti petugas kesihatan dalam pengurusan TB secara berkesan,” katanya lagi.

Untuk rekod, sepanjang 2024, Kelantan mencatatkan 1,049 kes TB dengan 99 kematian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button